KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam lima kes cabul membabitkan wanita di beberapa stesen MRT dan LRT sekitar ibu negara sejak bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 27 April lalu kira-kira pukul 11.45 pagi di perkarangan Stesen MRT Maluri.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kejadian cabul melibatkan mangsa wanita berusia antara 21 hingga 28 tahun.
“Kes-kes tersebut dipercayai berlaku di Stesen LRT Chan Sow Lin, MRT Maluri Cheras dan MRT Taman Midah. Suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, suspek berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














