PETALING JAYA – Kecuaian pemandu Proton X70 dikenal pasti sebagai punca kemalangan maut yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan 17/21, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pemandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an itu hilang kawalan akibat kecuaian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki tempatan pula dipercayai sedang bekerja ketika kejadian berlaku.
“Siasatan mendapati pemandu mempunyai lesen memandu yang sah dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing dan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan memandangkan usianya serta mempunyai penyakit.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Proton X70 yang hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang, semalam. – KOSMO! ONLINE














