fbpx
FAIROUS diiringi anggota polis selepas didakwa bersama-sama teman lelaki dan rakannya di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, hari ini.-Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!

Wanita pecut kereta dari Serdang ke Alor Gajah didakwa bawa dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Pemandu wanita yang memecut kereta sejauh 135 kilometer (km) dari Serdang, Selangor sehingga ke daerah ini bersama-sama teman lelaki dan rakannya bagi mengelak ditahan polis pada bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

Tertuduh, Fairous Saad, 42; dan kekasihnya, Mohamad Rafeq Mohd. Johari, 23 serta M. Udaya Kumar, 44, didakwa atas dua pertuduhan bersama memiliki dadah dan masing-masing pertuduhan bagi kesalahan memberikan diri sendiri dadah.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee itu, hanya Udaya mengaku bersalah bagi kesemua tiga pertuduhan, manakala Fairous dan Mohamad Rafeq mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama sebagai seorang yang tidak dikecualikan di bawah Bahagian IV Akta ADB 1952 atau sebarang peraturan yang dibuat di bawahnya dalam mencapai niat bersama didapati memiliki dadah berbahaya jenis heroin berat kasar 2.16 gram dan methamphetamine berat bersih 0.65 gram.

Kedua-duanya disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta ADB 1952 dan bagi perbuatan tersebut tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) serta 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.50 malam di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah, pada 29 April.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan sebat tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih daripada sembilan sebatan, manakala pertuduhan kedua denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Fairous dan kekasihnya turut didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, manakala Udaya membabitkan dadah jenis morfin dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara untuk satu tempoh tidak lebih dua tahun dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua, manakala RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Ujarnya, ia mengambil kira tindakan tertuduh yang cuba menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri dari Serdang sehingga ke Alor Gajah.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan Fairous merupakan ibu tunggal empat anak dan masih menanggung tiga anak bersekolah, selain menghidap kegelisahan atau anxiety.

Katanya, Mohamad Rafeq dan Udaya pula perlu menjaga ibu dan bapa dengan masalah kesihatan selain pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,200 dan menetapkan tarikh 16 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN