fbpx
Azam (dua dari kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLY/KOSMO!

RM31.3 bilion dana 1MDB berjaya dipulihkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng, sekali gus disifatkan antara pencapaian pemulihan aset terbesar bagi skandal kewangan dunia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu mewakili 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana yang dikenal pasti diseleweng.

Katanya, pencapaian tersebut turut melepasi sasaran awal sekitar 70 peratus atau RM30 bilion yang diumumkan sebelum ini.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah RM42 bilion dan daripada jumlah itu, kira-kira RM31.3 bilion berjaya diperoleh semula setakat tahun 2025.

“Berdasarkan piawaian antarabangsa, jika pemulihan aset mencecah antara 60 hingga 70 peratus, ia sudah dianggap luar biasa. Jadi pencapaian ini merupakan satu kejayaan besar dan mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut beliau, proses pemulihan aset bermula sejak 2019 apabila RM1.155 bilion berjaya dikembalikan kepada negara.

“Pada 2020, sebanyak RM14.257 bilion diperoleh semula diikuti RM5.117 bilion pada 2021, RM400.38 juta pada 2022, RM8.088 bilion pada 2023, RM715.95 juta pada 2024 dan RM1.566 bilion pada 2025,” katanya.

Azam berkata, kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama strategik antarabangsa melibatkan pelbagai agensi termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Katanya, usaha tersebut turut melibatkan mekanisme Bantuan Perundangan Bersama, perkongsian risikan kewangan dan tindakan pelucuthakan aset rentas sempadan membabitkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.

“Antara aset utama yang berjaya diperoleh semula ialah hasil jualan kapal layar Equanimity bernilai kira-kira RM543 juta selain sebuah jet peribadi dan beberapa hartanah di luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia turut memperoleh penyelesaian global melibatkan Goldman Sachs Group Inc, International Petroleum Investment Company (IPIC), Aabar Investments PJS serta firma audit Deloitte PLT dan KPMG PLT yang menyumbang pulangan berbilion ringgit kepada negara.

Tambah beliau, SPRM kekal komited mengesan dan memulihkan setiap aset yang diseleweng tanpa mengira lokasi serta tempoh masa.

“Insya-Allah, semua aset ini dapat dikembalikan kepada negara dalam tempoh terdekat, mungkin sehingga 2027.

“Usaha ini bukan sahaja untuk memulihkan aset negara, tetapi juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN