PETALING JAYA – Dalam dilema, pelakon Ezzanie Jasny mengakui jauh di sudut hati terselit rasa risau apabila usianya kini mencecah 27 tahun namun masih belum bertemu pasangan hidup.
Ujar Ezzanie atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, kebanyakan hari dilalui dengan baik, namun ada ketika emosi terganggu apabila melihat kebahagiaan pasangan lain.
“Pada usia 27 tahun, saya masih tiada pasangan dan tidak tahu bagaimana masa depan saya.
“Kebanyakan hari saya okey sahaja, ikut rentak sendiri. Tetapi kadang-kadang perkara kecil pun boleh mencetuskan emosi.
“Apabila melihat pasangan bahagia dan membina kehidupan bersama, perasaan itu menyentuh hati kerana saya juga menginginkannya,” tulisnya dalam Threads
Tambah pelakon drama Uncle Boss Mama itu, keinginan untuk mencintai dan dicintai tetap wujud, namun masih tertanya-tanya sama ada kebahagiaan tersebut ditakdirkan buat dirinya.
“Dalam hati, saya tetap mahu mencintai dan dicintai, mahu sesuatu hubungan yang nyata.
“Cuma saya tidak pasti sama ada semua itu memang ditentukan untuk saya atau tidak,” luahnya.
Jelasnya lagi, perancangan hidup pernah disusun rapi bersama bekas kekasih namun takdir berkata sebaliknya apabila hubungan lalu tidak berakhir seperti diharapkan.
“Saya pernah merancang untuk berkahwin sekitar usia 22 atau 23 tahun bersama bekas kekasih, tetapi jodoh tidak panjang.
“Kemudian saya sasarkan usia 25 tahun, namun sedar-sedar sekarang sudah 27. Sejujurnya, ada rasa risau,” kongsinya.
Bagaimanapun, Ezzanie menegaskan luahan tersebut bukan tanda terdesak mencari pasangan, sebaliknya sekadar berkongsi perasaan sebagai manusia biasa.
“Saya bukan terdesak atau sedang mencari pasangan. Saya cuma meluahkan apa saya rasa.
“Kita boleh gembira, menikmati hidup, tetapi dalam masa sama tetap terfikir tentang cinta. Itu normal, itu sifat manusia.
“Buat masa ini, saya memilih diri sendiri. Jadi jangan salah faham. Tak perlulah mesej nak berkenalan atau taaruf,” tegasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-rata memahami perasaan dilalui selain memberi kata-kata semangat.
“Jangan risau, jodoh itu rahsia Tuhan. Sampai masa nanti pasti hadir.
Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat setiap individu mempunyai perjalanan hidup berbeza dan tidak wajar terlalu tertekan dengan soal jodoh. – KOSMO! ONLINE.














