MEKAH – Bayaran mahal bukan jaminan untuk mendapat peluang menunaikan ibadah haji memandangkan semua tempat dan rayuan masih tertakluk kepada sistem giliran Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, masih ada bakal jemaah terpedaya dengan tawaran pakej premium kononnya mampu mempercepatkan kelulusan rayuan haji.
Katanya, perkara itu tidak benar kerana setiap permohonan dan rayuan perlu melalui proses ditetapkan TH tanpa dipengaruhi harga pakej.
“Semua rayuan mesti melalui Lembaga Tabung Haji dan tidak dipengaruhi oleh harga pakej. Ini antara taktik yang digunakan untuk mengelirukan orang ramai.
“Selepas diluluskan, barulah jemaah boleh membuat pilihan sama ada kekal dengan muassasah atau memilih pakej swasta,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Anuar, sikap tergesa-gesa dalam membuat keputusan menjadi antara faktor utama ramai menjadi mangsa penipuan.
“Walaupun pelbagai maklumat rasmi telah disalurkan, masih ada yang tidak menyemak terlebih dahulu dan akhirnya terjebak dengan skim tidak sah,” ujarnya.
Katanya, sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk promosi di media sosial, tawaran jalan pintas dan jaminan tempat haji tanpa melalui saluran sah.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan semakan memandangkan hanya 34 syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji.
“Selain daripada senarai ini, bukan syarikat ejen haji yang sah. Semakan boleh dibuat melalui laman web rasmi, pusat panggilan atau pejabat Tabung Haji.
“Pastikan setiap tawaran haji datang daripada Tabung Haji sebelum membuat sebarang bayaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mana-mana syarikat PJH yang gagal mematuhi syarat atau tidak menunaikan perkhidmatan seperti dijanjikan boleh dikenakan tindakan tegas.
“Antaranya termasuk tidak diluluskan lesen bagi musim berikutnya atau disenarai hitam,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE














