PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan manfaat perlindungan TH Khairat berjumlah RM48,000 kepada waris seorang jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Mekah, baru-baru ini.
TH dalam satu kenyataan hari ini berkata manfaat tersebut disampaikan kepada Muhammad Syakir, anak kepada Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman, 65, yang merupakan jemaah haji pertama Malaysia bagi musim 1447H/2026M yang kembali ke rahmatullah.
Allahyarham dilaporkan rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram semasa menunaikan solat fardu Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar akibat komplikasi jantung.
Menurut TH, Allahyarham sebelum ini mencarum dua polisi perlindungan di bawah skim TH Khairat dengan jumlah caruman RM48 setahun bagi manfaat khairat sebanyak RM24,000.
“Manfaat tersebut digandakan kepada RM48,000 sebagai keistimewaan yang dikhususkan kepada jemaah haji,” katanya.
Dalam pada itu, TH turut mengadakan ziarah ke kediaman waris Allahyarham di Desa Teratai, Muadzam Shah bagi menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan moral.
Ziarah tersebut diketuai oleh Pengarah TH Negeri Pahang, Haji Rosdi Dollah dan turut diisi dengan bacaan tahlil bersama ahli keluarga Allahyarham.
TH dalam masa sama memaklumkan akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham pada musim haji kali ini.
Katanya, pihaknya komited untuk terus memperkukuh kebajikan jemaah haji Malaysia secara menyeluruh termasuk memastikan waris menerima sokongan berterusan dari segi emosi, kebajikan dan manfaat perlindungan.
Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Pengurus Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Mohd Faiz Zaki serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Razali Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah.
Terdahulu, Allahyarham Nor Sulaiman dilaporkan meninggal dunia di Mekah pada 2 Mei 2026 akibat komplikasi jantung selepas rebah di Dataran Masjidil Haram sebelum solat Jumaat. Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaya, Mekah. – KOSMO! ONLINE.














