GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa bapa kepada salah seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang penuntut kolej yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan pada 1 Mei lalu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, polis Kelantan sebelum ini telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
“Memang suspek itu tidak ada kaitan dengan anak polis pun. Tak ada kaitan. Dua suspek yang warga emas tu kita telah bebaskan dan yang lagi dua suspek ini, yang umur 19 tahun ini, memang kita akan bebaskan dengan jaminan.
“Kita akan tunggulah untuk dapat arahan pertuduhan. Kita akan tuduh lah,” katanya ketika diminta mengulas sama ada bapa salah seorang suspek kes terbabit adalah pesara polis seperti yang tular di media sosial.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini.
Dalam kejadian 1 Mei lalu, pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Nurfisya Zulkifly, 19, ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan. – KOSMO! ONLINE














