PADANG BESAR – Seorang lelaki warga emas didakwa tersilap menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta yang dia pandu merempuh sebuah pasar raya di Kampung Darat, Beseri dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu dipercayai berlaku ketika lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo mahu membuat pusingan U.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu hilang kawalan sebelum tersilap menekan pedal minyak.
“Kereta tersebut kemudian melanggar sebuah Perodua Kancil sebelum merempuh premis perniagaan.
“Akibat kejadian itu, premis berkenaan mengalami kerosakan struktur di bahagian hadapan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, Volkswagen Polo itu remuk di bahagian hadapan manakala Perodua Kancil berkenaan rosak di bahagian belakang.
“Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE














