JAKARTA – Satu klip video tular di Kota Medan, wilayah Sumatera Utara menunjukkan seorang lelaki berjalan di tempat awam sambil membawa senapang, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku di Jalan Brigjen Zein Hamid, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki yang memakai topi itu sedang berjalan di kaki lima sambil membawa peralatan dipercayai senjata api.
Dia sempat berhenti dan mengacukan ‘senjata’ tersebut sebelum meneruskan perjalanannya.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Ema berkata, dia sering ternampak lelaki berkenaan semasa pergi ke kerja.
“Pagi tadi semasa menuju ke tempat kerja, dia (lelaki berkenaaan) membawa senapang. Namun, dari jauh ia kelihatan seperti mainan,” kata Ema.
Masih belum jelas sama ada lelaki terbabit memegang senapang sebenar atau pun mainan. – AGENSI














