PAGOH – Isu gaji rendah di bawah RM2,000 serta harga rumah tinggi sehingga menyebabkan ramai anak muda berhijrah menjadi fokus calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
C. Subramani berkata, perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan penduduk setempat hasil tinjauan turun padang yang dilakukannya di kawasan berkenaan.
Ujarnya, kombinasi pendapatan rendah dan ketiadaan rumah mampu milik menyukarkan penduduk khususnya golongan muda untuk terus menetap di kawasan tersebut.
“Anak-anak muda langsung tak boleh duduk di Bukit Keponglah. Semua di luar, Singapura, Kuala Lumpur, mana-mana. Kenapa?. Tak ada satu perindustrian.
“Jadi, kita kena usahakan untuk anak-anak muda kita. Lagi satu, di Bukit Kepong, gaji mereka bawah RM2,000, tapi rumah murah langsung tak ada. Macam mana anak-anak kita nak duduk di sini?” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara isu lain yang turut diketengahkan penduduk ialah keadaan infrastruktur termasuk kawasan yang masih gelap pada waktu malam akibat kekurangan lampu jalan.
“Kalau malam kita gerak daripada sini ke sana, memang gelap. Macam tak ada lampu, langsung tak ada lampu,” ujarnya.
Beliau yang pernah bertanding di DUN Buloh Kasap sebelum ini turut memaklumkan bahawa perhatian juga diberikan terhadap pembangunan kawasan pelancongan termasuk Galeri Bukit Kepong yang dilihat masih belum dimajukan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE














