GEORGE TOWN – Remaja lelaki berusia 15 tahun yang sebelum ini terpaksa bertarung nyawa selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dan bas di Batu Maung di sini, 2 Mei lalu disahkan meninggalkan dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), petang tadi.
Wan Muhammad Erfan Wan Azezar yang juga bekas pelajar tahfiz di Kedah itu menghembus nahas terakhir di samping ahli keluarganya, kira-kira pukul 2.25 petang tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan Ibu saudaranya, Putri Nur Hazirah Megat Ramlan, 35, ketika kepada Kosmo! di sini, sebenar tadi.
Menurut Hazirah, pihak keluarga terlebih dahulu dimaklumkan pihak hospital mengenai keadaan Erfan sejak semalam dan mereka reda dengan segala ketentuan Ilahi.
“Pagi tadi, kami sekali dihubungi pihak hospital yang memaklumkan mengenai tahap kesihatan Erfan yang dilaporkan semakin merosot.
“Walau berat untuk menerima berita pemergian Erfan tapi kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku. Erfan sebelum ini ditidurkan selama 56 hari di Wad Rawatan Intensif, Hospital Pulau Pinang, sejak 3 Mei lalu sehingga ke hari ini.
“Dia sudah tak sakit lagi. Kami sempat bisik di telinganya dan ajarnya mengucap, sebelum doktor mengesahkan yang dia sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Hazirah memberitahu, jenazah Erfan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Maung selepas selesai bedah siasat di hospital petang ini.
Pada 29 Mei lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kini bertarung nyawa selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dan bas kilang di Batu Maung di sini, 2 Mei lalu melecur di bahagian badan dan muka 50 peratus, manakala kaki kirinya pula terpaksa dipotong.
Akibat kejadian itu, Erfan mengalami kecederaan melecur pada dada, kaki, badan, kedua-dua tangan dan muka. Kemalangan tragis itu juga menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik itu mengalami pendarahan pada kepala, otak bengkak, patah dua rusuk kiri serta patah jari kaki kanan. -KOSMO! ONLINE














