fbpx
Akmal Nasrullah berucap pada taklimat krisis bekalan global secara dalam talian hari ini.

Papan pemuka krisis bekalan global dibuka kepada awam Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang awam dijangka boleh mengakses Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global bermula 15 Mei ini sebagai sumber rujukan berpusat bagi memantau perkembangan semasa berkaitan isu bekalan dan tekanan ekonomi global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pembangunan papan pemuka itu dilaksanakan secara bersama antara Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut beliau, platform tersebut diwujudkan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat yang telus, mudah difahami dan dikemas kini secara berkala berhubung perkembangan krisis bekalan global.

“Paparan awam dashboard ini merangkumi 10 submenu utama, antaranya tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran wang asing dan aliran perdagangan.

“Insya-Allah, dashboard ini dijangka boleh diakses oleh orang awam bermula 15 Mei 2026,” katanya pada taklimat krisis bekalan global secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata, satu lagi paparan khas untuk kegunaan kerajaan turut dibangunkan sebagai platform pemantauan dalaman.

Katanya, sistem itu membolehkan kerajaan menilai perkembangan semasa, mengenal pasti risiko awal serta merangka strategi mitigasi secara lebih tersusun berasaskan data hampir masa nyata.

Dalam pada itu, Akmal berkata, situasi ekonomi global ketika ini masih tidak menentu susulan risiko geopolitik berpanjangan yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga, harga komoditi, kos logistik dan kelancaran rantaian bekalan dunia.

Menurutnya, walaupun harga minyak mentah Brent menunjukkan penurunan 8.5 peratus kepada AS$108.40 setong bagi tempoh 5 hingga 8 Mei lalu berbanding AS$118.50 minggu sebelumnya, paras itu masih tinggi berbanding sekitar AS$68 sebelum tercetusnya krisis tenaga global pada Februari lalu.

“Perkembangan ini menunjukkan pasaran tenaga global ada menunjukkan sedikit kestabilan, tetapi masih perlu dipantau kerana
sebarang gangguan baharu boleh memberi kesan kepada kos tenaga dan pengeluaran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kedudukan ekonomi Malaysia kekal stabil dengan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 7 Mei lalu.

Selain itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Anggaran awal KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) suku pertama 2026 menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus.

“Angka ini memberi isyarat bahawa ekonomi negara masih berada pada landasan pertumbuhan yang baik, dengan tekanan harga yang masih terkawal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN