PETALING JAYA – Harga daging lembu tempatan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 1.4 peratus minggu ini, namun beberapa bahan makanan lain termasuk ikan kembung, sawi dan santan kelapa segar menunjukkan trend peningkatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkembangan itu direkodkan bagi tempoh 4 hingga 6 Mei lalu berdasarkan pemantauan harga bahan makanan terpilih.
Menurut beliau, harga daging lembu turun daripada RM36.40 sekilogram kepada RM35.88 sekilogram.
“Harga ayam standard hampir tidak berubah pada sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram. Namun, beberapa item mencatatkan kenaikan. Harga ikan kembung meningkat 3.9 peratus daripada RM16.76 sekilogram kepada RM17.42 sekilogram
“Udang putih meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram, sawi meningkat 4 peratus kepada RM7.23 sekilogram, manakala santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram,” katanya pada taklimat krisis bekalan global secara dalam talian hari ini.
Akmal berkata, secara keseluruhan, harga bahan makanan ketika ini masih berada dalam julat terkawal walaupun wujud tekanan global terhadap kos logistik dan komoditi.
Katanya, statistik menunjukkan pergerakan harga makanan berada antara penurunan dua peratus hingga kenaikan 6.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Namun, beliau mengakui terdapat kebimbangan bahawa sebahagian rakyat terutama di kawasan luar bandar mula merasai tekanan peningkatan kos sara hidup.
“Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melahirkan kerisauan bahawa terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan, mungkin terutamanya di luar bandar telah mula merasai tekanan harga barangan harian.
“Justeru, MTEN bersetuju supaya Ketua Setiausaha Negara dapat menyusul perkara ini bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi menyelaras inisiatif usaha dan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran terutamanya golongan miskin dan rentan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














