KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan krisis politik Negeri Sembilan.
“Mungkin hari ini (perjumpaan bersama Ahmad Zahid). Semalam saya selepas acara majlis saya ke istana,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri hadir ke Majlis Temu Anwar dan Peluncuran Pembinaan Bangunan Baharu Universiti UCSI, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau dijadualkan akan berjumpa Anwar hari ini namun enggan mengulas masa dan lokasi pertemuan itu.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan politik melibatkan parti komponen, Anwar meminta semua pihak tidak membuat andaian.
“Dalam politik ini, jangan buat terlalu banyak andaian,” katanya.
Semalam, Perikatan Nasional memberi isyarat terbuka untuk membentuk jajaran baharu bersama Barisan Nasional di Negeri Sembilan ketika kemelut politik di negeri itu dilihat semakin meruncing.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemungkinan kerjasama itu sebagai satu pilihan yang tidak mustahil demi menamatkan krisis pentadbiran yang sedang berlaku. – KOSMO! ONLINE














