fbpx
Anwar ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga KPM di Putrajaya, hari ini.

Tingkatan Enam kekal bawah KPM – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan cadangan meletakkan program Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas mengambil kira kekangan sistem dan skim perkhidmatan, sekali gus mengekalkan program prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT disifatkan sebagai langkah yang rasional kerana statusnya sebagai pendidikan pasca menengah, pelaksanaannya memerlukan penelitian lanjut berikutan melibatkan perubahan sistem pentadbiran dan perkhidmatan.

“Saya fikir rasionalnya memang betul, tetapi peralihan itu mengambil masa kerana sistem dan skim.

“Jadi buat sementara ini saya putuskan supaya program prauniversiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.

Beliau berkata, pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti perlu diperkukuhkan supaya tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada persekolahan menengah biasa.

Menurut beliau, walaupun pelajar Tingkatan Enam masih ditempatkan di sekolah yang sama, mereka perlu mempunyai blok pembelajaran, pengurusan, disiplin dan aktiviti yang berasingan bagi mewujudkan suasana pembelajaran setaraf pendidikan prauniversiti.

“Saya mahu Tingkatan Enam jangan dijadikan sebahagian daripada persekolahan. Sentimennya ialah prauniversiti.

“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekalipun, mereka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai program berasingan dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.

Beliau berkata, majlis perhimpunan juga sewajarnya diasingkan dengan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima supaya pelajar Tingkatan Enam benar-benar merasai status mereka sebagai pelajar pasca sekolah dan prauniversiti.

Menurut Anwar, pendekatan itu pernah diamalkan sebelum ini dan wajar dikembalikan bagi meningkatkan imej serta keyakinan pelajar terhadap laluan pendidikan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN