SEPANG – Kerajaan perlu memperkukuh siap siaga negara dalam menghadapi bencana udara menerusi satu sistem pengurusan bersepadu yang menyatukan semua agensi di bawah satu arahan, komunikasi dan tindakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap agensi dapat bertindak secara tersusun dan selaras sekali gus mengelakkan kelewatan yang boleh mengorbankan nyawa ketika situasi kecemasan.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga krisis sebenar berlaku untuk mengetahui sama ada arahan kita jelas, komunikasi kita berkesan dan semua agensi mampu bergerak dalam satu rentak.
“Sistem yang baik bukan sistem yang hanya lengkap di atas kertas, sistem yang baik ialah sistem yang mampu berfungsi ketika tekanan memuncak, maklumat berubah dengan pantas dan keputusan perlu dibuat dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di sini, hari ini.
Katanya, dalam mengurus bencana udara, semua agensi tidak boleh
bergerak secara berasingan, sebaliknya bertindak dalam satu pasukan dengan satu matlamat yang jelas, iaitu menyelamatkan nyawa dan mengawal keadaan secepat mungkin.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kekuatan sebenar bukan terletak pada berapa banyak aset atau anggota yang dmiliki sebaliknya terletak pada sejauh mana semua aset, kepakaran dan kuasa itu dapat digerakkan dalam satu arah.
“Prinsip kita mesti jelas, satu sistem, satu arahan dan satu tindakan kerana sebagai pasukan bencana nasional kita mesti menyatukan semua kekuatan di bawah satu tujuan yang lebih besar daripada kepentingan organisasi masing-masing. Ini sistem yang kita mahu bina,” katanya.
Katanya, keselamatan penerbangan tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal atau operasi semata-mata, sebaliknya ia adalah satu kepentingan strategik negara yang menghubungkan manusia, menggerakkan perdagangan, membawa masuk pelaburan dan membuka pintu negara kepada dunia.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 104.4 juta pergerakan penumpang direkodkan di 39 lapangan terbang di bawah Malaysia Airports dan daripada jumlah itu, KLIA sahaja mengendalikan lebih 63.3 juta penumpang.
“Malah, pada kemuncak musim perayaan, lebih sejuta penumpang dikendalikan dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
“Dalam keadaan trafik yang begitu padat, satu gangguan kecil boleh menjadi krisis besar sekiranya tidak ditangani dengan segera,” katanya.
Katanya, keselamatan penerbangan juga berkait rapat dengan kekuatan ekonomi negara apabila Malaysia menerima 42.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun lalu dengan hasil sebanyak RM110.6 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik pula mencecah RM121.3 bilion.
Justeru, katanya, pelaburan dalam kesiapsiagaan bencana mesti dilihat sebagai satu pelaburan untuk melindungi nyawa, mempertahankan keyakinan dunia terhadap Malaysia dan memastikan setiap sektor dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.- KOSMO! ONLINE














