JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan memperkasakan ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dengan melengkapkan sekolah terbabit menggunakan pelbagai teknologi pembelajaran moden termasuk pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penyediaan kemudahan berteknologi tinggi itu merupakan antara fokus utama kerajaan negeri bagi memastikan murid Johor bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif menerusi pendekatan berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah serta pembangunan inovasi.
Katanya, penggunaan teknologi moden di dalam bilik darjah bukan sekadar meningkatkan minat murid terhadap STEM, malah membantu membentuk budaya berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan ekosistem STEM melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembelajaran seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
“Inisiatif ini bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah dan pembangunan inovasi bagi memupuk budaya berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan murid,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Masai di sini hari ini.
Muhammad Naqib berkata, usaha memperkukuh STEM itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan awal SRBJ yang mula menunjukkan impak positif walaupun baru memasuki tahun pertama pelaksanaan.
Selain itu, katanya, SRBJ turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Harvard University menerusi Program for Scientifically Inspired Leadership (PSIL) yang bakal memberi manfaat kepada 100 murid melalui pendedahan kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.
Dalam masa sama, kerajaan negeri akan terus memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menerusi pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di sekolah-sekolah SRBJ.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperluaskan pelaksanaan SRBJ secara berfasa ke semua daerah di Johor menjelang 2031 bagi memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat daripada ekosistem pendidikan bertaraf global yang sedang dibangunkan. – KOSMO! ONLINE














