KEMAMAN – Seorang lelaki warga emas yang hilang selepas keluar bersarapan pada Ahad lalu ditemui sudah meninggal dunia di Kampung Baru Neram 1, Cheneh, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, mayat, Abdullah Besar, 70, ditemui pasukan mencari dan menyelamat berhampiran kawasan paya pada pukul 11.20 pagi, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka bagi tujuan pencarian mangsa.
“Pegawai perubatan yang memeriksa mangsa mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan Abdullah yang juga bekas anggota Polis Hutan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang selepas bersarapan di kedai berhampiran rumahnya pada Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE














