GURUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar sebuah lori dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian, lelaki berusia 61 tahun sedang mengundurkan lori tersebut di pekarangan rumah sebelum terlanggar mangsa.
“Lelaki itu dikatakan mengundurkan lori berkenaan tanpa menyedari cucunya berada di belakang kenderaan lalu melanggar mangsa.
“Lori tersebut yang digunakan untuk membawa baja ketika kejadian tiada muatan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan disahkan telah meninggal dunia.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














