KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan pada awal Oktober depan, namun tema serta fokus utamanya masih dalam peringkat awal perancangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kerajaan ketika ini baharu memulakan proses merangka kandungan belanjawan berkenaan dan belum memuktamadkan tema yang akan diketengahkan.
“Belanjawan akan dibentang pada awal Oktober. Sedang dirangka sekarang. Sekarang ini baru kita mula merangka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar dalam ucapan perasmian HEGD 2026 berkata, Belanjawan 2027 akan terus berpandukan Kerangka Madani dengan memastikan setiap dasar ekonomi bukan sahaja mengejar pertumbuhan, malah mengutamakan nilai moral dalam tadbir urus dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE














