fbpx
Nor Hazulaini (kiri) dan Samsiah menunjukkan gambar perkahwinan pasangan pengantin baru itu di Jalan Nenas, Meru, Klang. Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO

‘Sabtu lalu majlis kahwin, hari ini jadi tahlil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Kami masih terkejut kerana majlis kahwin arwah baru saja berlangsung Sabtu lalu namun hari ini menjadi tahlil,”.

Demikian kata Nor Hazulaini Che Deraman, 42, ibu mentua kepada seorang operator kilang yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas melanggar pembahagi jalan dan tercampak di Jalan Meru Tambahan di sini, semalam.

Menurutnya, Allahyarham Adam Harif Abdullah, 21, dan anak perempuannya, Nadiatull Safera Samsun, 18, melangsungkan perkahwinan di kediamannya di Jalan Nenas, Meru di sini, enam hari lalu.

Jelas Nor Hazulaini, dia kemudian pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan untuk menjaga neneknya yang sedang uzur.

“Namun, kira-kira pukul 9.30 pagi, saya terkejut menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan tragedi itu. Saya kemudian bergegas membeli tiket bas untuk pulang dan sebak melihat majlis tahlil setibanya di rumah malam tadi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah beliau, menantunya yang bekerja di sebuah kilang di Bandar Bukit Raja itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum ini.

“Adam sememangnya seorang yang amat baik hati, ceria dan rajin mencari rezeki untuk keluarga. Kehilangan arwah masih dirasai kerana pemergiannya amat mengejut dan kami pasrah dengan ketentuan Allah yang lebih menyayanginya,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kemalangan kira-kira pukul 8.50 pagi berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Nenas menuju ke tempat kerjanya.

Mangsa yang cedera parah disahkan maut di lokasi kejadian dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN