fbpx
Tengku Zafrul

Setiap catatan dianggap arahan yang perlu dipertimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu setiap minit (catatan) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa, dianggap sebagai arahan yang perlu diambil tindakan dan dipertimbang serius.

Tengku Zafrul, 53, berkata ia adalah kerana Muhyiddin ketika itu adalah perdana menteri.

“Lazimnya, pengalaman saya sebagai menteri, minit daripada perdana menteri ialah suatu arahan yang perlu kami ambil tindakan, jika tidak, pentadbiran kerajaan tidak akan dapat berfungsi, bukan?

“Namun, mengambil tindakan tidak bermaksud kita perlu melakukan sesuatu yang tidak betul,” katanya ketika menjawab soalan pada pemeriksaan semula pihak pendakwaan.

Tengku Zafrul ketika memberikan keterangan sebelum ini, berkata terdapat catatan minit Muhyiddin dalam surat iringan bagi lima syarikat berhubung Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan minit itu, syarikat yang disenaraikan perlu dibuat perolehan secara pra-kelayakan oleh pihak Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Semalam, Tengku Zafrul bersetuju dengan cadangan peguam bela, bahawa setiap minit (catatan) mesyuarat bukan arahan wajib dan beliau mengakui banyak menerima minit daripada Muhyiddin.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Kanan Tengku Zafrul, Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud, 52, ketika memberikan keterangan berkata beliau tidak pasti bagaimana pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat juga telah diputuskan oleh PMO sendiri.

“Saya juga sahkan syarikat-syarikat di dalam dokumen ini juga disenaraikan PMO dan bukannya daripada Kementerian Kewangan (MOF ketika itu)., kata saksi itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN