ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyeru generasi muda agar menjadi golongan yang lebih celik maklumat dan berfikiran kritis dalam mendepani cabaran era digital masa kini.
Baginda bertitah, golongan pendidik dan sarjana juga disaran supaya lebih proaktif memperbaharui kaedah pengajaran sejarah agar menjadi lebih menarik, tepat serta relevan dengan perkembangan semasa.
“Generasi muda hari ini mempunyai peluang besar untuk menjadi lebih celik maklumat dan berfikiran kritis dalam era digital.
“Sehubungan itu, para pendidik dan sarjana disaran terus proaktif memperbaharui kaedah pengajaran agar lebih menarik, tepat dan relevan, sekali gus mampu menyentuh jiwa serta memperkukuh kefahaman generasi baharu,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis di sini hari ini.
Titah baginda, sejarah perlu dihayati secara bertanggungjawab kerana ia merupakan teras jati diri serta kompas masa depan sesebuah bangsa.
Baginda bertitah, pembinaan negara bangsa memerlukan usaha berterusan menerusi pendidikan, kefahaman bersama serta kesediaan menghormati perbezaan dalam masyarakat majmuk.
Raja Muda Perlis turut menegaskan sejarah tempatan termasuk sejarah negeri dan komuniti setempat tidak wajar dipinggirkan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan identiti yang lebih besar. – KOSMO! ONLINE














