SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menghentikan sepenuhnya aktiviti ternakan babi di negeri ini demi kemaslahatan rakyat tidak wajar dipertikai apatah lagi diputar belit demi kepentingan tertentu.
Perkara itu ditegaskan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mewakili lebih 80,000 ahlinya sebagai tanda menjunjung kasih serta taat setia terhadap titah baginda.
Setiausaha Agung GPMS, Wafiyuddin Musa berkata, semua pihak tidak boleh mempertikaikan keputusan Sultan Selangor yang dibuat atas kemaslahatan rakyat secara bersama.
“Ini bukan untuk satu bangsa dan satu agama. Baginda dengan tangan terbuka menerima semua rakyat datang ke Selangor untuk mencari rezeki.
“Jangan cuba menipu rakyat dan menyelewengkan fakta sebenar. Jika tidak boleh menyakinkan, jangan pula mengelirukan rakyat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, lebih 50 ahli gabungan itu mengadakan perhimpunan secara aman di luar pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, selepas solat Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya masih merekodkan sebanyak 280 laporan polis berhubung penularan menghina Sultan Selangor setakat ini.
“Jumlah laporan itu masih sama seperti yang dilaporkan menerusi kenyataan media sebelum ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE














