fbpx
Beberapa PATI yang ditahan oleh JIM semasa Operasi Khas di Telok Senangin, Lumut semalam.

PATI bayar RM1,500 dibawa naik kapal ikan untuk masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cubaan sindiket menyeludup masuk 20 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia melalui ‘jalur laut’ berjaya digagalkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di pesisir pantai Telok Senangin, Lumut, Perak awal pagi semalam.

JIM dalam satu kenyataan media hari ini berkata operasi kira-kira pukul 1.25 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Perak hasil risikan selama tiga minggu serta maklumat awam.

Tambahnya, pasukan operasi mengesan pergerakan masuk migran warga Indonesia yang dipercayai baru tiba dari Tanjung Balai, Indonesia sebelum menahan seramai 20 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan 11 perempuan berusia antara 19 hingga 59 tahun.

“Semakan awal mendapati sebahagian warga asing yang ditahan dipercayai merupakan Imigran Larangan iaitu individu yang telah direkodkan dalam senarai hitam dan senarai syak jabatan yang tidak dibenarkan memasuki negara ini,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan kapal ikan sebagai medium pengangkutan bagi membawa masuk PATI secara haram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Migran yang mendarat di kawasan pesisir pantai akan diatur menggunakan kenderaan melalui laluan darat ke destinasi yang telah ditetapkan. Bayaran sebanyak RM1,500 dikenakan bagi setiap individu untuk memasuki negara secara tidak sah,” katanya.

Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

JIM menegaskn, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN