SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan seramai 14,000 keluarga fakir dan miskin masih direkodkan di negeri ini tahun lalu
Sultan Sharafuddin menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah, data itu berdasarkan rekod Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dan baginda tidak mahu ada pihak yang salah faham atau keliru dengan kenyataan yang mendakwa tiada lagi kemiskinan tegar di Selangor.
“Penentuan status asnaf oleh Zakat Selangor ini dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah.
“Beta juga khuatir pembayar zakat beranggapan sudah tidak ada lagi fakir miskin di negeri Selangor sehingga boleh menjejaskan jumlah kutipan zakat,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa sukacita apabila jumlah agihan zakat kepada golongan berhak bagi tahun lalu mencecah RM1.33 bilion.
Menurut baginda, prestasi itu disokong oleh jumlah kutipan zakat sebanyak RM1.31 bilion dalam tempoh sama.
“Daripada jumlah keseluruhan agihan itu, lebih 60 peratus disalurkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga disantuni di seluruh Selangor.
“Peningkatan bilangan asnaf baharu ini didorong oleh usaha proaktif Zakat Selangor dalam memperkukuh proses penilaian, pengesanan dan peluasan capaian bantuan kepada keluarga yang layak,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut menjelaskan lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin pula berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan.
Justeru, baginda mahu agar agihan zakat terus difokuskan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan dan sokongan pendidikan.
“Beta berharap Zakat Selangor akan terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras dengan tuntutan syariat Islam,” titahnya. – KOSMO! ONLINE














