MELAKA – Sepasang kekasih muda mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi dan mengambil ubat bagi menghalang bayi dilahirkan hidup, bulan lalu.
Tertuduh Adam Harith Ahmad, 18, dan kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, terhadap Adam Harith, dia didakwa menyembunyikan kelahiran seorang bayi secara rahsia dengan membungkus bayi yang sudah meninggal dunia ketika dilahirkan oleh kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan sebelum meletakkannya di dalam bonet belakang sebuah kereta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin kira-kira pukul 11.40 malam pada 25 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000, namun peguam Mohd. Farid Abdul Aziz merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih muda selain ibunya merupakan pesara dan ibu tunggal yang turut menjaga nenek tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani, teman wanitanya turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil ubat jenis Misoprostol dengan niat menghalang bayi tersebut dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka Tengah kira-kira pukul 10 pagi pada 25 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan remaja perempuan itu diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan untuk mendapatkan laporan akhlak JKM.
Kosmo! pada 6 Mei lalu melaporkan tindakan seorang remaja lelaki menyembunyikan janin kekasihnya di dalam sebuah kereta sebelum merancang untuk menanamnya di belakang rumah terbongkar selepas dia dicekup polis, bulan lalu.- KOSMO! ONLINE














