PETALING JAYA – Kerajaan terus memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi pembinaan 350 kelas prasekolah baharu di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan akses pendidikan kepada kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam memastikan perkembangan holistik melibatkan aspek intelek, sosial, emosi, jasmani dan rohani.
“Pendidikan prasekolah menjadi landasan utama dalam menyediakan anak-anak dengan kemahiran asas sebelum melangkah ke peringkat pendidikan formal. Usaha peluasan prasekolah kami lakukan dengan bersungguh-sungguh. Pada tahun ini sahaja, sebanyak 350 buah kelas prasekolah baharu diwujudkan di seluruh negara,” katanya di media sosial.
Terdahulu, Fadhlina sempat meninjau projek pembinaan dua buah kelas prasekolah baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang, Sarawak sempena program Tindak Susul Parlimen semalam.
Katanya, projek berkenaan kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka dapat meningkatkan akses pendidikan prasekolah kepada penduduk di kawasan tersebut apabila mula beroperasi kelak.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 turut memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan prasekolah sebagai asas utama pembangunan modal insan negara.
Jelas beliau, kerajaan komited memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan awal yang berkualiti demi melahirkan generasi masa depan yang lebih berdaya saing.- KOSMO! ONLINE.














