SHAH ALAM – Polis Selangor menerima sebanyak 280 laporan berhubung penularan karikatur berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial bermula 25 April hingga 5 petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan tersebut dibuat oleh pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi melampau tersebut.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Fokus utama siasatan sedang giat dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan dan menahan individu yang bertanggungjawab dalam mencemarkan kedaulatan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE













