fbpx
Anwar ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Manila, Filipina hari ini.

ASEAN perlu bersatu hadapi krisis global – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kesepaduan ASEAN dalam mendepani cabaran global yang semakin meruncing termasuk krisis geopolitik, keterjaminan tenaga dan makanan serta ketidakstabilan rantaian bekalan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada negara mampu berdepan kemelut tersebut secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang lebih kukuh.

Menurut beliau, perkara itu ditegaskan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 Cebu, Filipina hari ini.

“Solidariti ASEAN mesti terus diperkasa bagi memastikan rantau ini kekal stabil, inklusif dan berdaya tahan dalam suasana dunia yang semakin berpecah akibat persaingan geopolitik,” katanya.

Dalam sidang itu, Malaysia turut menyuarakan sokongan terhadap usaha mempercepat pelaksanaan ASEAN Power Grid selain memperkukuh mekanisme keselamatan petroleum serantau.

Anwar berkata, ASEAN juga perlu memperluaskan jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi ASEAN-GCC-China bagi menjamin daya tahan tenaga untuk jangka panjang.

Dalam isu keterjaminan makanan pula, beliau menegaskan ASEAN perlu bertindak lebih tuntas melalui penyelarasan stok kecemasan makanan serta pengukuhan mekanisme simpanan beras ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR).

“Langkah ini penting supaya rantau ini tidak terus terdedah kepada inflasi makanan dan gangguan bekalan,” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar berkata, keselamatan warga ASEAN di kawasan bergolak turut menjadi keutamaan bersama negara anggota.

Katanya, perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan perlu dipertingkat bagi melindungi kebajikan rakyat ASEAN di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN