MANILA – Sebuah syarikat di Filipina menempa nama dalam Guinness World Records selepas menyalakan lebih 11,000 tanglung air di sebuah tasik buatan manusia, lapor portal berita GMA Lifestyle.
Syarikat Vibes Events Management Corporation mencatatkan rekod pameran tanglung air terbesar di dunia, baru-baru ini.
Percubaan itu dilakukan semasa Lumina: Water Lantern and Music Festival di Lakeshore Pampanga, sebuah tasik buatan manusia seluas 12 hektar.
“Pampanga, cahaya ini milik anda. Pada Ahad lalu, Lakeshore Pampanga menjadi tuan rumah kepada gelaran Guinness World Records apabila lebih 11,000 tanglung air menerangi tasik tersebut pada satu malam yang tidak akan dilupakan,” kata Lakeshore Pampanga di media sosial.
Penganjur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai termasuk pengunjung, rakan kongsi, penyokong dan sukarelawan yang mengambil bahagian serta membantu menyalakan tanglung-tanglung itu. – AGENSI














