fbpx
Aktivis Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri (tiga dari kiri) bersama Saif (dua dari kiri) yang menyertai GSF 2.0 baru-baru ini.

‘Sesekali askar penjajah halakan senjata, beri amaran tembak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Biarpun di dalam tahanan selepas diculik tentera penjajah, aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tidak gentar, malah turut melakukan protes aman sepanjang ditempatkan di dalam penjara di atas kapal Zionis Israel.

Aktivis Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menceritakan pengalamannya berkata, mereka yang diketuai oleh Pemimpin & Ahli Jawatankuasa GSF, Thiago Avila melakukan perbincangan beramai-ramai bagi melakukan protes tersebut.

“Saif (Ahli Jawatankuasa GSF, Saif Abukeshek) dipanggil keluar pada sebelah pagi hari kedua kami diculik penjajah. Jadi satu perbincangan untuk melakukan protes aman yang diketuai Thiago dan disertai semua tahanan dibuat pada sebelah petang.

“Perbincangan itu diadakan beramai-ramai, di dalam penjara atas kapal. Dalam keadaan kami diperhatikan askar penjajah dari empat penjuru berbeza. ‘Walaupun kita dikurung, kita ada hak untuk protes secara aman’ kata Thiago. Kita tuntut beberapa perkara,” katanya pada hantaran Thread hari ini.

Ahmad Musa Al-Nuwayri berkata, tuntutan pertama mereka ialah komrad yang ditarik keluar mesti dibebaskan, seterusnya disediakan tuala wanita untuk aktivis wanita.

“Ketiga, air untuk diminum dan keempat, selimut memandangkan cuaca sangat-sangat sejuk. Selepas majoriti bersetuju, malam itu protes bermula.

“Kami menjerit beramai-ramai dan yang paling kerap diulang adalah laungan, ‘Free our comrade’, selain ‘Free Palestine’, ‘From river to the sea, Palestine will be free’ dan ‘Palestine Hurrah Hurrah (bebas), Israel Barrah Barrah (berambus)’,” katanya.

Beliau berkata, laungan itu berterusan hampir satu jam, diiringi ketukan kuat pada kontena menggunakan kasut dan tangan.

“Sesekali askar halakan senjata ke arah kami seolah-olah memberi amaran bahawa sesiapa yang terus menyertai protes itu boleh ditembak bila-bila masa.

“Tetapi tidak ada seorang pun yang berhenti. Laungan kami terus bergema memecah sunyi. Dan hari ini, selepas dibebaskan, Saif mengesahkan beliau mendengar jeritan kami malam itu. Juga betapa beliau hargai setiap laungan yang kami suarakan ketika dikurung sendirian,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Musa Al-Nuwayri turut memuji Saif dan menyifatkan lelaki itu bukan calang-calang manusia.

“Beliau hanya pulang sehari untuk berjumpa keluarga, lalu kembali ke Marmaris, Turkiye untuk meniup semangat kepada kami yang akan meneruskan pelayaran.

“Ada manusia yang hadirnya memberi tenang. Ada juga kehadirannya membakar keberanian orang lain untuk terus melangkah. Dan Saif adalah kedua-duanya,” katanya.

Terdahulu, aktivis Brazil, Thiago dan warga Sepanyol, Saif dibebaskan selepas ditahan pihak berkuasa Israel susulan cubaan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi misi GSF 2.0.

Thiago dan Saif merupakan sebahagian daripada kumpulan kedua GSF yang berlepas dari Sepanyol pada 12 April lalu dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dengan membawa bantuan kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN