PETALING JAYA – Dua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Thiago de Avila dan Saif Abukeshek didakwa menjadi mangsa keganasan fizikal serta soal siasat tidak sah ketika berada dalam tahanan Israel.
Perlakuan ganas itu dilakukan selepas kedua-dua aktivis itu ditahan tentera laut ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Crete pada awal pagi Khamis lalu.
Menurut kenyataan peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah), pihaknya baru selesai melawat kedua-dua aktivis di Penjara Shikma, Ashkelon.
Adalah berkata, dalam lawatan itu mereka menerima keterangan dengan kedua-duanya mendakwa mengalami layanan keras sepanjang lebih dua hari berada dalam tahanan tentera laut Israel.
“Thiago dilaporkan berkata beliau diseret secara meniarap di atas lantai dan dipukul dengan begitu teruk sehingga pengsan dua kali.
“Beliau (Thiago) kini mengalami lebam jelas pada wajah termasuk sekitar mata kiri selain pergerakan tangan yang terbatas akibat kesakitan serius,” katanya.
Adalah berkata, dari saat Thiago ditahan tentera Israel sehingga dipindahkan kepada Perkhidmatan Penjara Israel lebih dua hari kemudian, dia ditempatkan dalam pengasingan dan ditutup mata.
“Thiago turut mendakwa disoal siasat oleh agensi perisikan Shabak (ISA) dan dimaklumkan akan disiasat Mossad atas tuduhan ‘berafiliasi dengan organisasi pengganas’,” katanya.
Dalam masa yang sama, Saif pula melaporkan dirinya diikat tangan, ditutup mata dan dipaksa meniarap di atas lantai sejak ditahan sehingga pagi ini, menyebabkan lebam pada muka dan tangan.
Selepas tiba di pusat tahanan Shikma, Saif mendakwa beliau diberitahu sedang disiasat Shabak atas syak wasangka ‘berafiliasi dengan organisasi pengganas’.
Bagaimanapun, peguam Adalah mendakwa pihak berkuasa Israel enggan memberikan maklumat lanjut berhubung tuduhan tersebut.
Kedua-dua aktivis kini dilaporkan melancarkan mogok lapar, namun masih minum air.
Mereka dijadual dibawa ke Mahkamah Majistret Ashkelon, pagi ini pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) bagi prosiding lanjutan tahanan.
Adalah menegaskan layanan terhadap kedua-dua aktivis termasuk pengasingan, penutupan mata berpanjangan dan pukulan fizikal merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Pertubuhan itu turut berhujah bahawa sebarang soal siasat terhadap mereka adalah tidak sah dan kedua-duanya mesti dibebaskan segera.
Sebelum ini media melaporkan seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 serta diculik di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece telah dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete.
Bagaimanapun, Thiago dan Saif masih dalam tahanan rejim Israel dan dipercayai bertujuan mengugut dan melumpuhkan keseluruhan misi.- KOSMO! ONLINE














