PETALING JAYA – Global Sumud Flotilla (GSF) melancarkan seruan terakhir kepada kapten dan pelaut berpengalaman dari seluruh dunia untuk menyertai misi maritim ke Gaza bagi mencabar sekatan yang dikenakan ke atas wilayah itu.
Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram rasmi, organisasi berkenaan memaklumkan armada mereka kini hampir lengkap dengan latihan laut, pemeriksaan keselamatan dan persiapan kru telah selesai dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu, keperluan mendesak kini tertumpu kepada pengisian beberapa posisi terakhir kapten bagi memimpin kapal-kapal flotila tersebut.
“Kapten dan pelaut seluruh dunia, kami memerlukan anda.
“Ini adalah misi maritim untuk mencabar sekatan ke atas Gaza dan membawa mesej solidariti di lautan,” menurut hantaran tersebut.
Tambah mereka, individu yang mempunyai pengalaman mengendalikan vesel diseru tampil segera bagi membantu melengkapkan kru dan memastikan perjalanan misi dapat diteruskan.
Semalam, sebanyak 56 buah kapal GSF memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April. – KOSMO! ONLINE














