fbpx
Zahirah MacWilson tampil bersuara apabila ada pihak mempersoalkan situasi cemas yang dihadapinya dan anak di sebuah pusat perubatan swasta baru-baru ini.

‘Bukan potong barisan,  kes anak saya diklasifikasikan sebagai kecemasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Zahirah MacWilson menyelar dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya sengaja memotong barisan ketika mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta dengan anaknya sebelum ini.

Menurut Zahirah, 31, dia tidak memotong barisan sebaliknya pihak hospital meletakkan kesnya sebagai kecemasan pada waktu tersebut.

“Saya bukan jenis yang melayan komen atau gosip remeh, tetapi apabila anak menjadi sebutan, saya perlu bersuara. Mengapa orang sangat mudah membuat andaian dan memanipulasi keadaan?

“Sudah tentu ketika itu saya bersama anak saya dan kami berada dalam keadaan membimbangkan.

“Adakah saya meminta anak saya diberi keutamaan atau memotong giliran? Tidak. Itu adalah berdasarkan penilaian anda sendiri dan kakitangan yang mengklasifikasikan kes kami sebagai kecemasan,” katanya dalam InstaStory.

Tambah isteri aktor Aiman Hakim Ridza itu, dakwaan tidak memberikan senyum kepada individu lain adalah tak sepatutnya berlaku memandangkan ketika itu dia berada dalam situasi kecemasan.

“Adakah saya perlu datang dengan senyuman dan ketawa dalam situasi kecemasan?

“Andaian kalian mengenai reaksi wajah saya ketika itu langsung tidak memberi sebarang justifikasi dan bukan alasan untuk membuat sebarang tanggapan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia berharap tiada lagi dakwaan sebegitu dicetuskan oleh mana-mana pihak sebelum mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya sangat berharap individu itu bukan dalam kalangan staf perubatan hospital tersebut (individu yang mendakwanya tidak mesra dan enggan memberikan senyuman).

“Harap boleh dijadikan pengajaran. Tidak perlu menjadi toksik, tak kira siapa atau di mana kalian bekerja.

“Lebih-lebih lagi apabila berkaitan kesihatan anak atau ketika berdepan situasi mencemaskan,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa Zahirah individu yang sombong kerana tidak memberi senyuman ketika hadir ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam dakwaan tersebut, pelakon drama Curi-Curi Cinta itu juga dikatakan memotong barisan dengan sengaja untuk mendapatkan rawatan segera.

Bagaimanapun, hantaran tersebut sudah dipadam oleh individu terbabit selepas mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN