fbpx
Zainal dalam satu siaran langsung di TikToknya.

GSF 2.0: Sukarelawan Malaysia bersiap hadapi ancaman dron Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini giat melakukan persiapan rapi termasuk menghadapi kemungkinan serangan dron Israel ketika konvoi kapal dijangka menghampiri perairan berisiko dalam tempoh 48 hingga 60 jam lagi.

Salah seorang sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim berkata, semua peserta kini sedang menyusun strategi keselamatan selepas beberapa siri taklimat diadakan khususnya membabitkan peserta baharu yang majoritinya belum pernah berdepan ancaman serangan sebenar.

Menurutnya, kira-kira 70 hingga 80 peratus peserta flotila kali ini merupakan muka baharu, justeru pengalaman peserta lama yang pernah melalui serangan sebelum ini amat penting dalam memastikan misi berjalan lancar.

“Kita akan sampai ke Greece dalam 48 hingga 60 jam, perairan yang mendedahkan kepada dron Israel untuk menyerang bot-bot ini kalau dia berniat untuk melaksanakan serangan dron.

“Jadi tadi kita dah diberi taklimat satu jam, bagaimana mempersiapkan semua kapal kerana 70 hingga 80 peratus adalah peserta baharu. Ada sesetengah kapal ada peserta yang berpengalaman hadapi serangan dron tahun lepas, ada setengah kapal tak ada, jadi (sebab itu) diberi taklimat,” katanya dalam satu siaran langsung, tengah malam tadi.

Zainal berkata, corak ancaman kali ini dijangka berbeza berbanding tahun lalu, sekali gus memerlukan pendekatan keselamatan baharu.

“Kita tidak boleh gunakan corak sama. Tahun lepas dia (Israel) gunakan cara tahun lepas, tahun ni dia gunakan cara tahun ini. Semua peserta diberikan langkah-langkah SOP untuk bersiap sedia. Kapten akan membuat kata pemutus cara kita berkomunikasi dan mengambil langkah-langkah perlu apabila mengesan kehadiran dron,” katanya.

Menurut beliau, Israel didakwa menggunakan sekurang-kurangnya tiga jenis alat serangan iaitu dron, quadcopter atau octocopter seja melakukan serangan terhadap kapal bantuan kemanusiaan sejak Jun 2025.

Beliau mendakwa kapal Handala pernah diserang, diikuti Medlin yang berdepan tindakan lebih agresif termasuk cubaan menenggelamkan kapal berkenaan.

“Masa kapal Medlin, serangan lebih ganas. Mereka cuba karamkan kapal tersebut.

“Dalam Sumud Flotilla sebelum ini, daripada 42 kapal, sekitar 12 kapal berjaya dirosakkan, ada yang masih boleh berlayar dan ada yang lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Zainal yang pernah berada di atas kapal Lunabuck berkata, pengalaman lalu termasuk insiden layar kapal pecah akibat serangan menjadi pengajaran besar buat dirinya.

“Saya pernah alami sendiri apabila layar kapal pecah menyebabkan kapal tidak lagi boleh berlayar sebelum dipindahkan ke kapal Fair Lady.

“Tapi pengalaman baharu ini pasti berbeza dan kami tetap bersedia meneruskan misi demi kemanusiaan,” ujarnya.

Semalam, sebanyak 56 buah kapal GSF memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.

Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN