PETALING JAYA – Kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SinarUntukGaza anjuran Jasmine Food berjaya mengumpul dana kemanusiaan melebihi RM270,000 bagi membantu rakyat Gaza yang terjejas akibat konflik berterusan.
Kempen yang dilaksanakan sejak awal tahun ini menerima sokongan meluas daripada pengguna, rakan niaga serta peruncit di seluruh negara menerusi pembelian produk terpilih.
Satu majlis penyerahan sumbangan telah diadakan melibatkan penyaluran dana kepada Mercy Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia bagi menyokong bantuan kemanusiaan termasuk keperluan asas, bantuan perubatan serta pemulihan komuniti di Gaza.
Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Alan Kwong berkata, kejayaan kempen itu mencerminkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan antarabangsa.
Menurutnya, sumbangan yang dikumpul melalui pembelian harian membuktikan sektor perniagaan mampu memainkan peranan penting dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan secara berterusan.
“Sokongan yang diterima amat menggalakkan dan kami menghargai peranan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan sambutan positif tersebut, Jasmine Food akan meneruskan kempen berkenaan sehingga Jun depan dengan peluasan ke beberapa negeri Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu bagi membolehkan lebih ramai pengguna menyertai usaha tersebut.
Alan berkata, lanjutan kempen itu bertujuan mengekalkan kesedaran awam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza selain memastikan sumbangan terus disalurkan kepada organisasi bantuan berkaitan.
Kempen itu dijalankan menerusi pembelian Beras Era Cap Sinar Timur, dengan sebahagian hasil jualan disalurkan terus ke tabung bantuan kemanusiaan Gaza.
Jelasnya, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sambil menyumbang kepada masyarakat melalui kerjasama strategik bersama organisasi kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE














