PETALING JAYA – Lebih 60 buah kapal dari Itali dan Sepanyol di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) akan belayar ke Gaza, hari ini dalam satu misi yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas wilayah Palestin.
Menerusi kenyataan oleh GSF, semua kapal tersebut kini sedang berlabuh di Pelabuhan Augusta, Itali.
“Flotila berkenaan akan belayar dengan matlamat yang jelas iaitu untuk memecahkan sekatan haram ke atas Gaza.
“Ia juga bertujuan untuk menegaskan semula hak rakyat Palestin di samping mendesak pembukaan koridor kemanusiaan kekal ke Gaza,” kata kenyataan itu, hari ini.
GSF menjelaskan, misi tersebut juga bertujuan untuk menggerakkan tindakan antarabangsa secara berterusan.
Berdasarkan Deklarasi Brussels, yang diterima pakai pada Kongres Parlimen pertama GSF pada 22 April lalu, jelas kenyataan itu, ‘kecaman’ terhadap Israel dan sekutunya tidak lagi mencukupi memandangkan penjarahan yang berterusan, penutupan laluan darat serta sekatan akses kemanusiaan ke Gaza.
“Tindakan bersepadu dan pelbagai perlu dilaksanakan dengan membina barisan antarabangsa yang mampu menyasarkan sistem sokongan yang mengekalkan sekatan tersebut.
“Boikot, tekanan politik dalaman, mobilisasi kesatuan pekerja, mogok umum, serta tindakan ketidakpatuhan awam tanpa keganasan, yang mana semua ini kini digerakkan sebagai sebahagian daripada strategi bersama bagi memastikan hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri dihormati,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE














