fbpx

5 Seconds of Summer kembali gegar Kuala Lumpur November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kembali ke Malaysia selepas sedekad, kumpulan pop rock 5 Seconds of Summer (5SOS) bakal menggegarkan Unifi Arena Kuala Lumpur pada 17 November ini.

Band asal Sydney, Australia itu singgah di negara ini sempana konsert jelajah Everyone’s A Star! 2026.

Dianjurkan SAH Entertainment, persembahan itu menjanjikan malam penuh tenaga dengan gabungan muzik, emosi dan produksi bertaraf antarabangsa.

Sekali gus aksi mereka dijangka menjadi antara konsert pop rock paling besar tahun ini, dengan tarikan bukan sahaja peminat tegar sejak 5SOS ditubuhkan pada 2011, malah pendengar baharu.

Menariknya, jelajah mega ini juga direalisasikan seiring pelancaran album studio keenam mereka berjudul Everyone’s A Star! yang merupakan buah tangan baharu sejak 2022.

Album tersebut memperlihatkan evolusi muzik 5SOS dengan bunyi lebih berani dan merentas genre, diinspirasikan daripada nama besar seperti N.E.R.D., Gorillaz dan The Prodigy tanpa menghilangkan identiti asal mereka.

Menerusi konsert di Kuala Lumpur nanti, penonton boleh menyaksikan gabungan seleksi baharu serta hit lama yang pernah mencipta fenomena global termasuk Youngblood, Easier, Lie to Me dan Who Do You Love.

Pengasas SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, kepulangan 5SOS sebagai momen yang cukup dinanti-nantikan ramai berdasarkan populariti rangkaian dendangan mereka.

“Kami melihat gelombang artis rock legenda era 90-an dan 2000 kembali ke Malaysia yang meraih sambutan luar biasa.

“Dengan 5 Seconds of Summer, kami nekad membawa sebuah band yang dekat dengan pelbagai generasi termasuk golongan muda.

“Persembahan ini sudah lama dinantikan selepas 10 tahun dan kami tidak sabar melihat keluarga 5SOS berkumpul bersama,” katanya.

Jualan tiket akan dibuka dalam dua fasa iaitu Artist Presale pada 4 Mei 2026, diikuti jualan umum pada 5 Mei 2026 melalui laman rasmi GoLive Asia.

Terdahulu, 5SOS yang dianggotai Luke Hemmings, Michael Clifford, Calum Hood dan Ashton Irwin berjaya menjual sekitar 18 juta unit album serta mencatat lebih 10 bilion penstriman di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN