ALOR GAJAH – Lebih 50 keluarga di beberapa buah kampung di Durian Tunggal di sini, hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka menjadi sasaran kumpulan samun bersenjata sejak enam bulan lalu.
Difahamkan, sekurang-kurangnya lima keluarga menjadi mangsa sejak Oktober tahun lalu dengan kerugian mencecah RM800,000 membabitkan kehilangan barang kemas, wang tunai serta barangan berharga lain.
Kejadian terbaru dilaporkan berlaku pada 12 April lalu, sekali gus menambah kebimbangan penduduk yang kebanyakan rumah mereka hanya terletak pada jarak kurang 20 meter dari Lebuh Raya Utara-Selatan.
Menurut penduduk, kumpulan penjenayah dipercayai meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya sebelum berjalan kaki memasuki kawasan kampung dan mensasarkan rumah tertentu.
Mereka juga didakwa bertindak agresif dengan mencederakan penghuni bagi menakutkan mangsa.
Antara kawasan terlibat termasuk Kampung Sri Tambun, Jalan Alor Gajah Lama, Kampung Air Semubok, Kampung Durian Tunggal dan Taman Kenari.
Seorang mangsa, P. Kalaiyarasu, 45, berkata, kejadian pukul 3.30 pagi, 12 April lalu berlaku apabila beberapa lelaki bertopeng menceroboh rumahnya.
“Seorang daripada mereka memegang tangan dan mencekik leher kakak saya, manakala saya ditendang hingga terjatuh. Isteri saya pula cedera dipukul menggunakan hulu parang.
“Kami sekeluarga diikat sebelum mereka melarikan barang kemas dan wang tunai RM200,000. Rumah saya hanya kira-kira 10 meter dari lebuh raya dan mereka dipercayai memotong pagar untuk masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Durian Tunggal yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Seorang lagi mangsa, G. Kaliyani, 45, berkata, dia turut berdepan detik cemas selepas disamun beberapa lelaki bertopeng pada 7 Februari lalu.
“Mereka datang pukul 8.30 malam dan terus mengikat kami. Muka suami saya ditutup dengan pita pelekat sebelum mereka melarikan barang kemas dan wang tunai RM240,000,” katanya.
Sementara itu, Khoo berharap pihak berkuasa dapat segera mengambil tindakan bagi mengekang kejadian berkenaan.
















