fbpx
Anggota polis mengiringi Muhammad Syahmi untuk didakwa atas pertuduhan memiliki senapang angin tanpa permit di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini.

Pembantu kedai miliki senapang angin untuk tembak binatang liar didenda RM3,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang pembantu kedai didenda RM3,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senapang angin tanpa permit di Kampung Nechang dekat ini pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ghoni, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki senapang angin tanpa sebarang permit atau lesen yang sah di Kampung Nechang di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 6 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afiqah Amran.

Terdahulu, Afiqah dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dengan alasan tertuduh menggunakan senjata tersebut untuk menembak binatang liar termasuk burung.

Mahfuzah Hamizah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,800 atau penjara sembilan bulan jika gagal bayar denda tersebut.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN