fbpx
Gambar hiasan.

Pengarah syarikat guna dokumen palsu didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen perjanjian sewa palsu membabitkan kuota pekerja asing bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (Program RTK 2.0).

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Chua Keng Hiang, 73, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Tertuduh berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Keng Hiang membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Keng Hiang didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen perjanjian sewaan antara Goh Leong Han, 65, dan PSSB Holdings (M) Sdn. Bhd. bertarikh 1 Julai 2021 yang mana tertuduh mempunyai sebab mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Duta di sini pada 5 Julai 2023.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh berkait dengan keselamatan kemasukan warga asing ke dalam Malaysia.

“Satu hukuman berat menjadi isyarat kepada masayarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” kata Noorhani.

Bagaimanapun peguam Michelle Tan merayu hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan warga emas yang menghidap pelbagai penyakit termasuk dementia peringkat awal, kanser prostat dan jantung.

“Anak guam memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan menyesali perbuatannya. Dia berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” katanya.

Mengikut fakta kes, dokumen penyewaan palsu bagi sebuah premis milik Leong Han di Jalan Imbi digunakan sebagai dokumen sokongan dalam permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan kepada JIM.

JIM yang mempercayai dokumen tersebut adalah tulen kemudian meluluskan kuota enam pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi sektor perkhidmatan kepada syarikat PSSB Holdings, namun selepas semakan lanjut dilakukan dokumen itu didapati palsu.

Siasatan mendapati Leong Han yang merupakan pemilik premis itu menafikan pernah menurunkan tandatangan atau membuat perjanjian sewa dengan syarikat milik tertuduh, PSSB Holdings (M).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN