KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneliti isu membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat tambahan daripada pihak berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita (PDRM). Kita juga masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh peribadi Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab ketika menyampaikan ceramah di Kuala Terengganu hujung minggu lalu.
Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat selain gesaan supaya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf dan mengakui kurang cermat ketika mengolah dan menyampaikan maklumat dalam ceramah tersebut. – KOSMO! ONLINE














