fbpx
Gambar Hiasan

CIDB umum dua ikon TVET pembinaan Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengumumkan dua penerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan CIDB sempena Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Wilayah Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Pengerusi CIDB Malaysia, Datuk Yusuf Abd. Wahab menegaskan bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan pemacu utama pembangunan tenaga kerja negara.

Katanya, bidang ini juga merupakan platform utama melahirkan tenaga kerja kompetitif dan berpendapatan tinggi.

“Dua penerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan yang diraikan membuktikan bahawa TVET bukan sekadar laluan alternatif, tetapi platform mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan dan membuka peluang kerjaya bertaraf global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penerima yang diraikan ialah alumni ABM Wilayah Sabah, Syahril Mohd Ariffin, 42, dan kini berjaya memegang jawatan sebagai Civil and Structure Inspector di Petronas.

Seorang lagi merupakan alumni CIDB Technologies Sabah, Richard Jupilin, 25, yang ketika ini bekerja dengan syarikat offshore di Dubai dengan kepakaran dalam Rope Access.

CIDB Malaysia dalam kenyataan berkata, ABM dan CIDB Technologies Sabah turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 94 peratus pada 2025, meningkat daripada 82 peratus (2024).

Kata kenyataan itu, pada majlis sama, seramai 150 graduan menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) merangkumi pelbagai bidang kemahiran seperti operasi kren mudah alih, pemasangan elektrik fasa tunggal, kerja kimpalan, pembinaan perancah, pemasangan paip gas, kerja penyelenggaraan bangunan serta lain-lain kemahiran teknikal pembinaan.

CIDB Malaysia dalam masa sama menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa TVET pembinaan melalui latihan kompetensi, pensijilan kemahiran, fasiliti latihan bertaraf industri serta sokongan penempatan pekerjaan bagi memastikan graduan benar-benar bersedia memasuki industri.

“Seramai 12 graduan turut menerima Anugerah Graduan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan mereka sepanjang mengikuti latihan TVET Pembinaan.

“Dalam majlis yang sama, CIDB Malaysia turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 9 rakan industri strategik sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kerjasama berterusan mereka dalam menyokong pembangunan tenaga kerja mahir negara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan CIDB Malaysia, Suhaimi Mansor berkata, pendekatan TVET pembinaan terus diperkukuh melalui keseimbangan teori dan latihan praktikal serta pendedahan kepada teknologi moden bagi memastikan graduan kekal relevan dalam industri yang berkembang pesat.

Beliau turut menyeru golongan belia agar menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya, selaras dengan keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.

Dalam perkembangan lain, CIDB Malaysia sedang membangunkan kampus baharu ABM Sabah di Kampung Beringgis, Papar dengan kos pembangunan RM130.6 juta dan dijangka siap pada tahun 2027. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN