KANGAR – Empat lelaki warga China direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Kuala Perlis, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kesemua suspek berusia antara 45 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Wai, Kuala Perlis.
Menurut beliau, polis sebelum itu menerima maklumat awam mengenai sebuah Toyota Innova berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.
“Sepasukan anggota Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Risikan Polis Marin kemudian pergi ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, sebaik anggota polis memperkenalkan diri dan mempamerkan kad kuasa, suspek bertindak memecut laju untuk melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kenderaan dinaiki suspek kemudian cuba merempuh sekatan jalan raya di Kampung Wai sebelum berjaya dipintas dan ditahan anggota polis bertugas.
“Semasa berada di lokasi, suspek enggan membuka pintu kenderaan dan sekali lagi bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan sehingga hampir melanggar anggota polis.
“Polis terpaksa memecahkan cermin belakang serta cermin sisi penumpang hadapan sebelum berjaya membuka pintu kenderaan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek turut cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati semua suspek masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu menggunakan pas pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE














