KUALA LUMPUR – Pengecualian caj RM1 bagi perkhidmatan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hanya terpakai di ATM yang dikendalikan oleh pihak bank.
Menerusi satu kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) berkata, caj atau fi berkenaan masih boleh dikenakan apabila menggunakan ATM yang bukan dikendalikan oleh bank.
Jelasnya, pelaksanaan pengecualian fi yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat serta memudahkan urusan perbankan harian.
“Inisiatif itu menghapuskan fi RM1 yang sebelum ini dikenakan apabila pelanggan mengeluarkan wang tunai di ATM milik bank lain.
“Untuk penjelasan, pengecualian fi ini hanya terpakai kepada ATM yang dikendalikan oleh bank di seluruh negara.
“Fi standard masih boleh dikenakan apabila menggunakan ATM yang bukan dikendalikan oleh bank,” katanya.
Sebagai rujukan, ATM yang dikendalikan oleh bank memaparkan nama dan logo sebuah bank pada bahagian luar mesin serta pada skrin ATM.
ATM yang bukan dikendalikan oleh bank lazimnya memaparkan logo beberapa bank.
Menurut kenyataan itu, langkah itu mencerminkan visi yang lebih luas untuk membina sistem kewangan yang lebih inklusif dan mudah diakses, dengan mengutamakan keperluan harian rakyat.
Industri perbankan menerusi ABM, AIBIM serta ADFIM telah bekerjasama rapat dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan manfaatnya dapat dirasai serta-merta oleh rakyat.
Pelanggan boleh merujuk saluran komunikasi rasmi bank masing-masing, termasuk laman sesawang, aplikasi perbankan mudah alih atau pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pengecualian fi RM1 bagi pengeluaran tunai ATM antara bank. – KOSMO! ONLINE














