SEATTLE – Impian Senegal untuk melakar kejutan mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 berkecai dalam cara yang paling menyakitkan apabila tewas 2-3 kepada Belgium selepas melepaskan kelebihan dua gol pada aksi pusingan 32 terbaik di Stadium Seattle, awal pagi semalam.
Skuad kendalian Pape Thiaw sebenarnya berada di landasan terbaik untuk menyingkirkan Belgium apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Habib Diarra pada minit ke-24 sebelum Ismaila Sarr menggandakan kelebihan enam minit selepas babak kedua bersambung.
Sepanjang lebih 80 minit permainan, Senegal tampil lebih tersusun apabila berjaya mengekang kreativiti Kevin De Bruyne, Youri Tielemans dan Leandro Trossard selain memaksa Belgium bergelut mencari rentak sebenar.
Namun, segala-galanya berubah dalam tempoh tiga minit terakhir permainan apabila Romelu Lukaku merapatkan jurang pada minit ke-86 sebelum Tielemans menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-89 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Lebih malang buat juara Piala Negara-Negara Afrika 2021 itu, Belgium melengkapkan kebangkitan dramatik apabila Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-125, sekali gus muncul jaringan paling lewat dalam sejarah Piala Dunia.
Thiaw enggan mengulas panjang mengenai keputusan pengadil menghadiahkan penalti kepada Belgium biarpun insiden itu mencetuskan perdebatan selepas tamat perlawanan.
“Saya tidak mahu mentafsir keputusan itu. Setiap orang mempunyai tafsiran berbeza mengenai situasi penalti dan saya lebih rela tidak mengulas keputusan pengadil,” katanya.
Kekalahan tersebut turut meneruskan episod duka buat wakil Afrika pada pusingan kalah mati selepas Afrika Selatan, Ivory Coast dan Republik Demokratik Congo sebelum ini turut tersingkir ketika aksi memasuki penghujung perlawanan. – AGENSI














