PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Terengganu dan Pahang (Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor yang melibatkan Hulu Langat serta seluruh Negeri Sembilan,” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian (Tebedu), Samarahan, Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri dan Limbang.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













