fbpx
Tangkap layar CCTV yang tular berhubung kejadian di sebuah restoran di Kepong, minggu lalu.

Jelingan: Tiga lelaki didakwa sebabkan kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki di sebuah restoran di Kepong sehingga kejadian itu tular minggu lalu.

Tertuduh, tukang kayu, Wong Weng Luen, 49, juruteknik, Lai Kae Bin, 33, dan pekerja pusat memorial, Wan Ken Fei, 30, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima pukul 2 pagi pada 7 Mei lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan tersebut serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam S. Narasimhan merayu mahkamah memberi ikat jamin kerana anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa, selain mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

“Walaupun kes ini telah tular, namun tidak semestinya tertuduh tidak mendapat jaminan. Dalam kes ini, tertuduh telah serah diri dan mereka perlu diberikan peluang untuk diikat jamin,” katanya.

Hakim Noridah tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan kes.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video televisyen litar tertutup memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera selepas didakwa menjeling sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN